Tema Perjuangan bahasa dalam buku Citra Kurnia
Citra Bahasa, 2002
Bahasa jiwa bangsa
Bahasa Melayu bahasa kita
Ia bahasa jiwa kita
Jiwa kita jiwa rakyat Malaysia
Bahasa Melayu bahasa jambatan
Bahasa perpaduan
Bahasa Melayu bahasa ikatan
Jatidiri bangsa Malaysia
Jangan perkecilkan bahasa Melayu
Kelak ia semakin kerdil
Kerdil bahasa kerdillah jiwa
Tak berjiwa manakah lagi kebersamaan kita
Lama telah bahasa kita berdaulat
Bukalah laman sejarah, lihat jerih
Lihat payah yang terpahat
Kita juga telah memberinya tempat
Setelah dinobat diangkat martabat
Janganlah lagi Direntap disentap
Bahasa Melayu bahasa kita
Ia sempadan kasih dan taat
Jangan padamkan sempadan yang satu ini
Kelak bangsa kita hilang erti, hilang harga diri
Waspadalah, setiap gerak diekori bayang
Setiap langkah dipagari hukum
Jangan kita dihukum nanti
Kelak tak terpadam api amarah
Tak terhapuskan bara benci
Dideklamasikan pada Malam Bahasa Jiwa Bangsa, 19 Julai 2002, di Dewan Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
0 comments:
Post a Comment